April 15, 2008

Unit Amanah

11:24 PM Posted by: are.chix 0 comments

Apakah unit amanah?

Unit amanah merupakan skim pelaburan yang mengumpulkan wang daripada ramai pelabur yang berkongsi matlamat kewangan yang sama. Sebagai pertukaran kepada wang itu, dana menerbitkan unit kepada pelabur yang dikenali sebagai pemegang unit. Pemegang unit boleh menjual semula (iaitu menebus) unit mereka kepada dana, atau membeli (dan menjual) unit seterusnya.

Pengurusan dana
Dana diurus oleh sekumpulan pengurus profesional (dikenali sebagai syarikat unit amanah) yang akan melabur wang yang terkumpul dalam portfolio sekuriti seperti saham, bon dan instrumen pasaran wang atau lain-lain sekuriti yang dibenarkan untuk mencapai objektif dana. Disebabkan jumlah besar wang terkumpul, pengurus dana boleh mempelbagaikan pelaburan dan ini boleh meminimumkan risiko pelaburan.

Pendapatan
Jumlah aset dana menentukan nilai dana dan harga dibayar oleh pemegang unit atau jumlah yang diterima apabila mereka menebus unit. Dana unit amanah memperoleh pendapatan daripada pelbagai pelaburan dalam bentuk dividen, pendapatan faedah dan perolehan modal. Pendapatan ini kemudian diagihkan kepada pemegang saham mengikut nisbah pegangan unit mereka, dalam bentuk dividen atau unit bonus.

Perlindungan untuk pemegang unit
Sebagai pemegang unit, perlindungan anda dalam unit amanah dipastikan melalui cara unit amanah itu dibentuk. Unit amanah sebenarnya satu amanah. Perlindungan terkandung dalam surat ikatan yang menyatakan kewajipan, tanggungjawab dan jangkaan tiga pihak dalam unit amanah iaitu:

1. Pemegang unit amanah yang memperuntukkan dana untuk pelaburan;

2. Syarikat unit amanah yang menyediakan pelaburan, perkhidmatan pentadbiran dan pemasaran; dan

3. Syarikat pemegang amanah yang memegang aset amanah bagi pihak pemegang unit.

Ada tiga sumber maklumat yang perlu anda kaji apabila memilih dana. Sumber tersebut ialah prospektus dana, surat ikatan amanah dan penyata kewangan yang mengandungi laporan tahunan dan interim yang boleh didapati secara percuma untuk semakan di premis pengurus dana.

Baca prospectus
Prospektus merupakan dokumen yang amat penting kerana ia membentangkan matlamat dana, strategi perlaburan dan polisi serta kedudukan ganjaran dan risiko yang diambil. Ia mungkin bahan bacaan yang penuh dengan istilah perundangan, tetapi anda perlu membaca dengan teliti untuk memastikan bahawa matlamat anda sama dengan dana tersebut. Akaun kewangan akan menunjukkan jika dana masih mengikut perancangan dan bagaimana pencapaiannya dalam perancangan tersebut. Bagaimanapun sebagai pelabur, anda perlu mempertimbangkan faktor berikut ketika memilih dana:

#Objektif pelaburan - ia perlu dinyatakan dengan jelas, jika tidak pengurus dana berpeluang untuk tidak melaksanakan apa yang anda kehendaki ketika memilih dana tersebut.

#Polisi pelaburan - jenis pelaburan dan strategi yang dibenarkan perlulah sama dengan yang anda yakini.

#Saiz dana dan aliran pertumbuhan.

#Sebarang sekatan pelaburan, seperti pelaburan minimum dikehendaki.

#Tahap risiko pelaburannya - unit amanah tidak terlepas daripada risiko sepenuhnya.

#Jenis dan jumlah yuran - fahami supaya anda tidak terkejut.

#Prestasi lepas jumlah pulangan tahunan, NAV (nilai aset bersih, iaitu nilai bagi setiap unit), nisbah belanja, dan terutama pembahagian pendapatan kepada pelabur, dan pertumbuhan aset - supaya anda boleh mengukur prestasi dana selama ini.

#Portfolio pelaburan terkini - supaya anda tahu peratusan pegangan bagi setiap jenis aset.

#Maklumat berkenaan Lembaga Pengarah dan kumpulan pengurusan utama (terutamanya pengurus dana, juruaudit dan pemegang amanah).

Jenis Unit Amanah

11:22 PM Posted by: are.chix 0 comments

Unit amanah dianggap sebagai instrumen yang baik untuk perancangan kewangan jangka sederhana hingga jangka panjang. Walau bagaimanapun, amat penting anda memilih dana yang sesuai, berdasarkan profil risiko dan objektif pelaburan anda. Berikut ialah senarai jenis unit amanah yang terdapat di pasaran:

Dana pendapatan: Melabur dalam sekuriti pendapatan tetap dan saham yang menghasilkan dividen yang besar dengan harapan akan membayar sebahagian besar daripada pulangan. Sesuai untuk pelabur yang mencari pendapatan dan sedikit pertumbuhan dengan risiko yang rendah

Dana pertumbuhan modal: Melabur terutama sekali dalam saham dengan harapan akan memaksimumkan pertumbuhan modal dalam jangka masa panjang (iaitu melalui harga unit yang lebih tinggi). Paling diminati oleh pelabur yang suka kepada risiko tinggi dan berminat terhadap pengumpulan modal.

Dana pertumbuhan agresif: Sama dengan dana pertumbuhan modal tetapi pelaburan dibuat dalam saham agresif yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang lebih tinggi. Sesuai untuk pelabur berisiko tinggi.

Dana terimbang: Mempunyai tiga objektif: pendapatan, kenaikan nilai sederhana dan pemeliharaan modal. Pelaburan dibuat dalam pelbagai kategori aset yang merangkumi saham, sekuriti pendapatan tetap dan wang tunai. Kepelbagaian yang baik dan sesuai bagi pelabur yang mencari pelaburan selamat di mana risikonya lebih rendah dan menghasilkan pulangan yang sederhana.

Dana indeks: Melabur dalam sejumlah besar saham yang menjejaki indeks pasaran saham terpilih.

Dana bon: Melabur hanya dalam sekuriti pendapatan tetap seperti bon dan instrumen pasaran wang jangka pendek. Semua dana bon tertakluk kepada risiko kadar faedah dan kebanyakannya tertakluk kepada risiko kredit atau risiko mungkir penerbit sekuriti.

Dana pasaran wang: Melabur hanya dalam instrumen pasaran wang jangka pendek seperti bil perbendaharaan, sijil deposit boleh niaga dan penerimaan jurubank, dengan tempoh kematangan kurang dari 90 hari. Oleh kerana dana dilaburkan dalam instrumen pasaran wang, pulangan yang diterima, walaupun kecil, pada amnya lebih menarik jika dibandingkan dengan deposit simpanan. Sesuai untuk pelabur yang mahu kecairan dalam pelaburan dan menjadi tempat sementara untuk menyimpan dana sebelum melabur dalam dana lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...